KUALA LUMPUR : Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap kekecohan yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) petang semalam, sambil menegaskan tindakan sedemikian tidak mencerminkan budaya dan etika rakyat Palestin.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Malaysia dan kedutaan Palestin komited sepenuhnya dalam menangani isu itu serta menawarkan sokongan kepada mereka yang terjejas.
“Isu ini sedang dibincangkan dengan pihak berkuasa Malaysia. Saya benar-benar sedih dengan apa yang berlaku.
“Ini bukan etika kami dan bertentangan dengan budaya kami. Kerajaan Malaysia dan kedutaan Palestin sedang melakukan yang terbaik untuk membantu,” katanya di sini hari ini.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan, insiden kekecohan membabitkan warga Palestin di WTKL berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.
Dalam satu kenyataan, ATM memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada 5 petang itu bagaimanapun dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan atau kecederaan dilaporkan.
Namun, berlaku kerosakan kecil pada perabot di WTKL.
Insiden pada Sabtu adalah kejadian kedua yang dilaporkan.
Kejadian serupa pernah berlaku pada Oktober tahun lalu.
Pada 16 Ogos, Malaysia membawa 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, ke negara ini untuk menerima rawatan perubatan.
Mereka yang cedera dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.
–BERNAMA