Gencatan senjata akhirnya berjaya dilaksanakan apabila kedua-dua pihak – Hamas dan rejim Zionis Israel, mencapai persetujuan untuk sementara waktu ‘menangguhkan’ perang di Semenanjung Gaza yang bermula sejak Oktober 2023.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Penulis cenderung menggunakan perkataan ‘penangguhan’ konflik Hamas-Israel ini kerana percaya perang akan terus berlaku antara kedua-dua pihak pada masa akan datang. Kedua-dua pihak tidak mempunyai nilai kepercayaan tinggi di antara satu sama lain dan kejujuran kepada kedamaian hanya bersifat sementara.
Dalam tempoh lebih setahun ini, berpuluh ribu nyawa terkorban terutama rakyat Gaza. Pertukaran tahanan dan tebusan perang mendapat perhatian antarabangsa, tetapi penangguhan konflik di Semenanjung Gaza menyaksikan rejim Israel mula melancarkan tindakan ganas di kawasan penempatan sementara pelarian di Tebing Barat yang didudukinya.
Serangan itu menyebabkan lebih 2,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. Tentera Israel dilaporkan merosakkan beberapa jalan utama di kota Jenin dengan alasan membantutkan usaha keganasan yang cuba membuat sabotaj dengan cuba melancarkan serangan bom terhadap kepentingan Israel di sekitar kota itu.
Perlakuan Israel ini bukan perkara baharu. Israel seperti kebiasaannya tidak akan menghormati sebarang perjanjian damai, malah akan terus menjajah Palestin sehingga dunia dapat bersatu, termasuk dengan membabitkan Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan kekerasan bagi menghalang hasrat ‘alkitabiah’ (biblical) Zionis Yahudi mahukan wilayah Israel dan Palestin dalam satu wilayah. Tebing Barat bagi sejarah orang Yahudi adalah kota lama Judea dan Samaria.
Dalam gencatan ini, kedua-dua belah pihak bersetuju melaksanakan perjanjian di bawah tiga fasa. Fasa pertama, Hamas akan menukar 33 tahanan Israel dengan 1,000 tahanan Palestin. Tempoh masa 42 hari diberikan untuk proses ini yang mana Israel akan menerima tahanan wanita, kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 50 tahun ke bawah dibebaskan setiap minggu secara berperingkat.
Namun, apa yang lebih penting ialah sejauh mana proses fasa pertama ini dapat terus dijalankan tanpa sabotaj kedua-dua belah pihak. Masa diberikan sehingga Oktober boleh memungkinkan beberapa perkara tidak diingini berlaku.
Kedua-dua belah pihak boleh mencabul gencatan ini. Ini dapat dilihat ketika gencatan senjata hendak dikuatkuasakan, Israel tetap membuat onar. Tidak dinafikan juga tekanan rakyat Israel terhadap kerajaan mereka amat tinggi bagi memastikan tebusan dilepaskan oleh Hamas.
Rakyat Israel sendiri, kecuali golongan Zionis dan politik berhaluan kanan, semakin menyatakan penolakan mereka pada perang ini.
Perjanjian gencatan senjata belum masuk kepada fasa kedua dan ketiga ketika kedua-dua belah pihak belum dapat mencapai persetujuan lagi.
Pada fasa kedua gencatan nanti, pihak tentera Israel hanya akan keluar dari Semenanjung Gaza apabila semua tahanannya dibebaskan Hamas. Di sini timbul persoalan kejujuran dan kepercayaan Israel boleh dipersoalkan.
Adakah rejim Zionis Israel boleh dipercayai apabila Hamas membebaskan semua tahanan atau adakah Hamas percaya Israel akan meninggalkan bumi Gaza begitu sahaja?
Perkembangan politik sedia ada tidak menunjukkan kedua-dua pihak akan dapat menyelesaikan fasa kedua perjanjian ini. Ini dapat dilihat apabila pada peringkat permulaan fasa pertama, Israel sendiri cuba melengahkan pelaksanaan gencatan senjata.
Nafsu serakah rejim Zionis masih berleluasa
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyalahkan pembangkang dan kumpulan berhaluan kanan menentang gencatan senjata. Di samping itu, pengalihan fokus kepada tindakan ganas di Jenin juga menunjukkan nafsu serakah rejim Zionis Yahudi masih lagi berleluasa.
Sekiranya fasa kedua masih menjadi tanda tanya, maka jalan berliku akan menanti sementara hendak mencapai fasa ketiga gencatan senjata ini. Fasa terakhir memerlukan kedua belah pihak berunding membina tatakelola politik pasca Perang Gaza.
Kedua, ia akan membabitkan pertukaran mayat rakyat dan tentera Israel terkorban, manakala terakhir adalah pelan pembangunan semula Gaza akan diterajui masyarakat antarabangsa.
Berdasarkan perkembangan ini, fasa berkenaan adalah waktu sukar. Selain permasalahan akan wujud pada fasa kedua, fasa terakhir memerlukan komitmen politik bukan sahaja di pihak Hamas dan Israel, tetapi kuasa besar yang menjadi penaung dalam konflik ini secara umumnya.
Presiden AS dilantik semula, Donald Trump, menunjukkan belang politik beliau dalam penyelesaian jangka panjang Palestin. Pernyataan Elsie Stefanik, calon Presiden Trump untuk Duta Besar AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jelas menunjukkan Palestin memang tidak ada masa depan untuk menjadi negara merdeka.
Stefanik pada sesi pengesahan Jawatankuasa Senat AS bagi Hubungan Luar, menekankan pendekatan ‘Amerika Terlebih Dahulu’ (America First), menjadi fokus pentadbiran kedua Trump ini, akan terus mempertahankan kepentingan nasional serta melindungi sekutunya.
Stefanik dengan jelas membayangkan pendirian pentadbiran Trump untuk memastikan ‘hak alkitabiah dan kedaulatan’ Israel dilindungi dan dipertahankan, tetapi menolak hak sama kepada rakyat Palestin.
Pernyataan lucu, tetapi mempunyai implikasi politik adalah cadangan Trump supaya Jordan dan Mesir mengambil semua rakyat Palestin menjadi warganegara mereka. Ia adalah satu idea begitu malang kepada rakyat Israel dan membuktikan fasa ketiga gencatan senjata ini lebih kepada permainan wayang Israel dan AS.
Perlu ditekankan pembabitan masyarakat antarabangsa dalam membangunkan semula Gaza adalah satu pelaburan besar. Bagaimanakah negara yang sudah menyatakan komitmen mereka seperti Jepun, Indonesia dan Malaysia, bersedia menerima risiko untuk terbabit dalam fasa pembangunan semula nanti dan memastikan Gaza tidak akan musnah semula sekiranya terjadi sekali lagi perang antara Hamas dan Israel.
Di samping itu, cadangan mahukan Hamas tidak terbabit dalam pentadbiran politik di Gaza, seperti dituntut pelbagai pihak di Israel akan lebih menyukarkan lagi masyarakat antarabangsa untuk turut serta dalam pelan pembangunan semula.
Hamas adalah kuasa berpengaruh di Gaza. Menyahkan peranan politik Hamas di Gaza akan menyumbang lebih banyak konflik pada masa akan datang.
Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian Ikatan Malaysia-Indonesia (IKMI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
BHonline-