KOTA SAMARAHAN : Premier Sarawak akan mengeluarkan kenyataan rasmi petang ini sebagai maklum balas kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu PETRONAS dan Petros.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tan Sri Abang Johari Abang Openg enggan mengulasnya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pusat Kesihatan Prima (PKP) Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sebentar tadi.
“Saya akan keluar kenyataan mengenainya petang ini,” katanya ringkas.
Anwar ketika ditemui media di Abu Dhabi semalam berkata, beliau percaya isu berkaitan PETRONAS dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Abang Johari.
Beliau berkata tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.
Bagaimanapun, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga menerima kenyataan Petros diwujudkan untuk memberi peluang kepada Sarawak meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak.
-Berita Harian