KUALA LUMPUR : Empat daripada lima kucing yang ditemui mati dalam kampus Universiti Malaya (UM), di sini disahkan akibat gigitan haiwan dan tiada unsur penderaan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata dapatan itu hasil bedah siasat dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Terdahulu, Azry Akmar memaklumkan polis menerima lima laporan berhubung penemuan lima bangkai kucing, masing-masing pada 17, 20, 21 dan 25 Disember lalu dan laporan terbaharu diterima, semalam.
“Hasil siasatan dan bedah siasat oleh DVS menunjukkan dua bangkai kucing yang ditemui pada 17 Disember lalu, kematiannya berpunca daripada gigitan haiwan dipercayai serangan anjing, tiada unsur penderaan.
“Bedah siasat untuk dua bangkai kucing yang ditemui pada 20 dan 25 Disember lalu juga tidak menemukan sebarang unsur penderaan manusia pada kedua-dua bangkai kucing terbabit.
“Bedah siasat mendapati punca kematian dua kucing itu akibat kecederaan parah pada bahagian toraks atau dada yang mengakibatkan luka dan pendarahan di bahagian jantung seterusnya menyebabkan kekurangan darah serta kegagalan sistem peredaran darah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sidang media turut disertai Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr Mohd Razli Abdul Razak; Pengarah Makmal Veterinar Zon Tengah DVS, Dr Mohd Shafarin Shamsuddin dan Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan DVS, Dr Marzuna Md Yunus.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Razali Mohd Idrus.
Mengulas lanjut, Azry Kamar berkata, kesan kecederaan pada bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember lalu dikesan pada tiga kaki yang kesemuanya adalah kesan koyak tidak sekata, tulang kaki patah tidak sekata dan bukan berpunca daripada sebarang objek tajam.
“Manakala bangkai kucing yang ditemui pada 25 Disember 2024 mengalami patah tulang rusuk kiri selain kesan koyakan pada jantung yang selari berpunca dari tusukan rusuk yang patah dan terdapat tiga luka koyakan yang berbeza pada bahagian perut,” katanya.
Azry Kamar berkata, setakat ini sebanyak 11 rakaman percakapan sudah diambil daripada kalangan pensyarah, penuntut, polis bantuan, aktivis haiwan dan doktor veterinar.
“Untuk kes kelima, bangkai kucing sudah diserahkan kepada DVS dan proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan tiga individu sudah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, rakan pengadu dan kakitangan keselamatan di universiti terbabit.
“Untuk kes kelima, siasatan masih diteruskan dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan selain siasatan oleh DVS mengikut Akta Kebajikan Haiwan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu, Azry Kamar berkata, buat masa ini tiada rakaman menunjukkan insiden berkenaan.
“Rakaman CCTV yang ada hanyalah rakaman yang menunjukkan kehadiran sekumpulan anjing liar antara empat hingga lima ekor berhampiran tempat kejadian,” katanya.
Berhubung tindakan berhubung kehadiran anjing liar di kampus UM, Azry Akmar berkata, pihak polis serta DVS sedang dalam perbincangan dengan pihak universiti untuk sebarang tindakan lanjut.
Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan berlaku kegelisahan terhadap orang ramai.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat disarankan untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.
-Berita Harian