PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen kerajaan membabitkan projek mega terpaksa ditangguhkan pada masa ini kerana perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri berkata, kerajaan berdepan kekangan dan kini memberi tumpuan kepada projek membabitkan rakyat seperti mitigasi banjir dan infrastruktur asas.
Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.
“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta kerana kerajaan ada kekangannya, isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia di sini, hari ini.
Pada 12 Januari tahun lalu, media melaporkan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan untuk terbabit dalam projek HSR.
Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka telah memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.
-Berita Harian