Damsyik: “Saya pernah disumbat ke dalam sel penjara ‘sardin’ memuatkan 10 tahanan serentak. Kami terpaksa tidur bergilir-gilir manakala sembilan yang lain perlu berdiri untuk memberi peluang setiap dari kami tidur di lantai penjara,” itu antara pengalaman pahit pernah dilalui rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Syria, Ustaz Yaser Yusoff, 35.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurutnya, dalam kejadian pada tahun 2019, dia yang menuntut di Universiti Bilad Al-Syam di sini, dituduh terbabit dengan pergerakan sulit yang ada kaitan dengan penentangan terhadap bekas presiden Bashar Al-Assad dan kerajaan Syria ketika itu.
“Saya diberkas ketika berada di rumah salah seorang rakan. Sepasukan polis rahsia atau digelar ‘mukhabarat’ dipercayai mengekori saya sebelum mengepung kediaman itu.
“Kumpulan polis rahsia itu terus menyerkup kepala saya dengan sarung sebelum membawa saya menaiki kenderaan polis. Sebaik kain itu dibuka, saya dapati sudah berada di dalam sel penjara amat kecil,” katanya kepada Harian Metro.
Dia yang akif dalam aktiviti Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia (CGM) berkata, hanya ada dua nasib tahanan di penjara Syria sama ada mati dibunuh atau ‘hilang’ selama-lamanya di dalam penjara.
“Ketika itu sesiapa yang disyaki menentang presiden Bashar, menyebut namanya atau negara Amerika selain berkelakuan menimbulkan syak wasangka, akan ditahan serta merta oleh polis rahsia.
“Saya disoal siasat sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu oleh pegawai polis bertugas. Dia bertanyakan soalan, sama ada saya pernah terbabit dengan demontrasi, memegang pistol dan melakukan perkara bertentangan dengan kehendak kerajaan Syria,” katanya.
Menurutnya, dia memberikan jawapan penafian sama ketika ditahan selama seminggu di Penjara Penerbangan Tentera Mazzeh, Damsyik, yang menjadi markas tentera.
“Dengan kuasa Tuhan, saya dibebaskan pada hari kelapan. Walaupun seperti tidak percaya namun saya bersyukur dilepaskan dari azab penjara ‘sardin’,” katanya.
Menurutnya, kekejaman pemerintahan Presiden Bashar-As-Assad bermula pada tahun 2000 bukan lagi rahsia dan diketahui umum seluruh dunia susulan siri pembunuhan besar-besaran terhadap rakyatnya sendiri.
“Semasa pemerintahannya, rakyat Syria hidup dalam keadaan ketakutan akibat kawalan ketat dan penindasan oleh pihak berkuasa. Sistem perisikan yang meluas menyebabkan rakyat sentiasa berhati-hati dalam percakapan serta tindakan mereka.
“Malah simbol-simbol kecil yang dianggap menentang kerajaan boleh membawa kepada penahanan dan hukuman berat bagi suspek dan seluruh keluarganya.
“Keadaan ini memaksa berjuta rakyat Syria meninggalkan tanah air mereka demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya yang kini bertugas sebagai guru agama dan penceramah di Kedah.
Sementara itu, seorang lagi bekas penuntut Malaysia di Syria, Ustaz Mohd Nazmi Abdul Karim, 51, berkata, rakyat Syria sebelum ini amat takut untuk menyebut nama Presiden Syria ke-18 Hafez al-Assad dan anaknya, Bashar Hafez al-Assad yang menyambung legasi pada 7 Julai 2000.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang disyaki menentang atau tidak menyukai presiden akan ditangkap dan diseksa di penjara tanpa dibicarakan.
“Malah pensyarah saya di Universiti Maahad Alfurqan, Damsyik dikenali sebagai Syeikh Muhammad mengalami kemurungan selepas abangnya ditahan tanpa diketahui nasib sejak tujuh tahun lalu.
“Kehidupan rakyat Syria ketika itu dalam ketakutan teramat sangat. Berbisik pun boleh menjadi punca ditangkap tanpa soal siasat. Apatah lagi untuk berkumpul beramai-ramai atau melakukan demontrasi.
“Polis Rahsia kerajaan ada di mana-mana bagi memburu individu disyaki. Ini termasuk ahli Jemaah Islam Ikhwanul Muslimin yang menentang sekularisme. Pada suatu peringkat, suami isteri saling tidak mempercayai satu sama lain,” katanya yang berada di negara itu sejak tahun 1992 hingga 1998.
Pada awal pemerintahannya, Bashar al-Assad menjanjikan reformasi politik dan ekonomi. Namun, harapan untuk perubahan segera tidak tercapai, dan banyak reformasi yang dijanjikan tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau berkata, gelombang kebangkitan rakyat dikenali sebagai ‘Arab Spring’ melanda Syria pada tahun 2011 menyebabkan semakin banyak keganasan dan pembunuhan terhadap rakyat dilakukan.
“Protes aman menuntut kebebasan politik dan reformasi ekonomi bertukar menjadi konflik bersenjata apabila kerajaan bertindak balas dengan kekerasan. Ini mencetuskan perang saudara yang berlarutan selama lebih satu dekad, mengakibatkan kematian ratusan ribu orang dan jutaan lagi menjadi pelarian.
“Pemerintahan Bashar al-Assad akhirnya tumbang pada Disember lalu hasil serangan pantas oleh kumpulan pemberontak Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) dipimpin oleh Abu Mohammed al-Jolani, yang kini dikenali sebagai Ahmed al-Sharaa. Serangan ini berjaya menggulingkan pemerintahan Assad dalam masa 11 hari, menamatkan lebih daripada lima dekad pemerintahan keluarga Assad di Syria yang amat ditakuti rakyat,” katanya.
HarianMetro-