PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, berkemungkinan nombor akaun peribadi Ambank miliknya dikongsi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho Low atau Jho Low kepada kerabat Arab Saudi, Putera Saud Abdulaziz bin Majid Al-Saud.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Najib yang memberi keterangan membela diri dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata ia bertujuan menerima kemasukan wang dari Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
Bekas Perdana Menteri yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar pada sesi pemeriksaan balas, pada mulanya berkata, beliau tidak pasti siapa yang memberikan nombor berkenaan kepada pihak Arab Saudi.
Apabila disoal bahawa ia adalah nombor akaun peribadi, Najib menjawab mungkin ada pihak lain yang berkongsi nombor itu yang berakhir 694 dan katanya apa yang penting, wang berkenaan disahkan masuk ke akaunnya.
Kamal Baharin terus mengasak Najib dengan mempersoalkan bagaimana orang lain boleh mengetahui nombor akaun berkenaan sedangkan ia adalah nombor akaun peribadi.
Disoal lagi oleh Kamal Baharin adakah beliau (Najib) tidak bertanya bagaimana mereka mengetahui nombor akaunnya itu, Najib menjawab “Tidak, ada kemungkinan orang lain yang beritahu, mungkin Jho Low.”
Sementara itu, berlaku pertikaman lidah di antara Kamal Baharin dan Najib berhubung persoalan mengapa (Najib) tidak membuat semakan sumber wang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Najib berkata, beliau tidak membuat semakan untuk mengesahkan perkara itu kerana menganggap Almarhum Raja Abdullah memberikan arahan bagi penghantaran wang terbabit berdasarkan kepada surat derma bertarikh Februari 2011.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tidak kira daripada mana datangnya wang berkenaan, beliau menganggap ia adalah berdasarkan kepada kehendak Almarhum Raja Abdullah sendiri.
Najib berkata, tidak mungkin Almarhum Raja Abdullah sendiri mengirimkan dana berkenaan dan tidak mungkin keluarga diraja Arab Saudi melakukan penghantaran wang itu tanpa kehendak Almarhum.
Disoal berkali-kali oleh Kamal Baharin sama ada (Najib) membuat semakan untuk mengesahkannya, Najib menjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pergi menghantar pasukan ke Arab Saudi.
Disoal lanjut mengapa dalam surat derma tidak dinyatakan ia akan dikirim oleh keluarga diraja Arab Saudi, Najib berkata, ia adalah sekadar formaliti dan kaedah bagaimana wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya adalah terpulang kepada (Almarhum) sendiri.
“Saya anggap wang ini masuk secara berperingkat, takkan hendak masuk semua sekali. Ia datang daripada keluarga diraja,” katanya.
Pendakwaan turut mempersoalkan mengapa Najib tidak menghantar penghargaan ucapan terima kasih sebagai tanda memaklumkan bahawa wang sumbangan sudah diterima.
Kamal Baharin mencadangkan bahawa Najjb tidak berbuat demikian kerana mengetahui kiriman derma berkenaan bukannya daripada Almarhum Raja Abdullah sebaliknya ia adalah dana milik 1MDB.
Bagaimanapun Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu dan menegaskan tiada keperluan untuk membuat pengesahan penerimaan wang berkenaan kerana ia menganggap ia dari Almarhum Raja Abdullah.
Kamal Baharin: Datuk Seri ada mengucap penghargaan kepada Almarhum Raja Abdullah atas sumbangan US$20 juta walaupun yang dijanjikannya adalah US$100 juta?.
Najib: Ada tapi tidak secara bertulis, hanya melalui kunjungan seterusnya. Sumbangan seperti ini tidak boleh ditulis. Saya tidak boleh hantar surat secara peribadi kerana saya ketua kerajaan, mesti kena ikut protokol, iaitu melalui Kementerian Luar sedangkan sumbangan ini peribadi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.
BHonline-