TELUK INTAN: Seorang pekebun ditahan di Changkat Jong di sini, semalam, kerana disyaki merogol anak perempuannya sejak 10 tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa berumur 21 tahun itu nekad tampil membuat laporan polis terhadap bapanya yang berusia 56 tahun, Selasa lalu.
Katanya, wanita yang bekerja sebagai operator kilang itu mendakwa dirogol bapa di rumah sejak dia berusia 11 tahun, dengan kejadian terakhir pada 17 Januari lalu.
Beliau berkata, suspek sudah bercerai dengan isterinya sejak mangsa berusia enam tahun.
“Susulan kejadian terakhir itu, mangsa melarikan diri dan tinggal di rumah rakannya.
“Rakannya menasihati mangsa supaya membuat laporan polis mengenai apa yang berlaku bagi memastikan keselamatannya terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa turut mendakwa bahawa suspek sering mengugutnya agar tidak mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa.
“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut, semalam.
“Suspek kini direman tujuh hari hingga 29 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahmad Adnan meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi pihaknya melalui talian 05-6299222 atau balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
BHonline-