MUAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap seorang duda selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang, Rabu lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan penjara 10 hari bermula dari tarikh ditahan, 4 Januari yang mana ia akan dibebaskan daripada tahanan hari ini.
Dalam penghakiman ringkas, Meor Hashimi berkata, penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Fadil Ismail, 35, oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat adalah terlalu berat.
“Mahkamah percaya keputusan dibuat oleh majistret tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.
“Justeru, mahkamah memutuskan hukuman itu (penjara tiga bulan ) diketepikan dengan tertuduh dipenjara 10 hari bermula tarikh ditangkap,” hujahnya dalam prosing semakan kehakiman.
Dengan keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi, Muhammad Fadil akan dibebaskan hari ini.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semakan kehakiman itu dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.
Minggu lalu, Muhammad Fadil dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang milik lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit, 9.45 pagi, 4 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua manakala bagi kesalahan kedua, penjara dan denda.
Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap, 4 Januari lalu.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang juga kelindan lori ditahan selepas mangsa membuat laporan polis sebaik melihat kelibat lelaki itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kebunnya.
Sebelum tangkapan dibuat, pengadu mendapati pisang jenis ‘rastali’ yang ditanam di kebunnya kerap hilang akibat dicuri individu tidak diketahui.
BHonline-