ALOR SETAR: Kebimbangan penduduk di Kupang, Baling berikutan kes kebakaran misteri sejak Disember tahun lalu berakhir apabila polis menahan seorang suspek.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata hasil siasatan mendapati suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah malam Isnin lalu.
Dendam dipercayai punca lelaki itu membakar sembilan rumah penduduk.
“Suspek yang juga penganggur dan penduduk Kupang itu ditahan pada tengah malam kelmarin.
“Semua sembilan kes khianat dengan api dilakukan suspek dipercayai berpunca dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.
Difahamkan, suspek juga dipulaukan penduduk setempat, dengan sebahagian daripada mangsa mengenali suspek.
Fisol berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku sejak 24 Disember tahun lalu.
Polis percaya disebabkan perasaan dendam, dia bertindak membakar sembilan rumah tersebut dengan kerugian tertinggi sebanyak RM300,000.
Fisol berkata, suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Difahamkan, modus operandi suspek adalah dengan mencurahkan petrol pada motosikal lalu membakarnya sebelum ia merebak ke rumah penduduk.
BHonline-