GEORGETOWN: Waris dua pelancong China yang maut dalam insiden pokok tumbang di sini September lalu, menuntut ganti rugi kira-kira RM1.7 juta dan permohonan maaf lima pihak berhubung tragedi menimpa keluarga mereka.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Peguam, Ng Kian Nam, berkata, beliau mewakili anak guamnya, Yang Xue Li, 69, yang merupakan balu kepada Liu Zhu, 69, dan Wang Geng Feng, 41, iaitu suami Liu Xin Xin, 36, akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada pihak berkenaan hari ini.
Menurutnya, LOD itu ditujukan kepada pengendali muzium, Pinang Peranakan Mansion Sdn Bhd, pemilik tanah muzium, SSM Capital Sdn Bhd, pemilik tanah tempat pokok terbabit tumbuh, Sri Kumaran’s Textile Sdn Bhd, agensi pelancongan Pony Holiday Sdn Bhd dan pemandu yang membawa mangsa ke muzium berkenaan.
“Mangsa iaitu bapa, adalah seorang pesara yang menerima wang pencen bulanan sebanyak RM2,000 manakala anak perempuannya, merupakan penyelia latihan sebuah syarikat multinasional dengan pendapatan sekitar RM7,000 sebulan.
“Liu Xin Xin turut meninggalkan anak berusia 11 tahun dan sehingga kini, keluarga mangsa yang berdepan kepedihan emosi mendalam turut tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak terlibat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kian Nam berkata, tuntutan pampasan sebanyak RM1,762,325.69 itu antaranya merangkumi ganti rugi kesedihan, kehilangan tanggungan, ganti rugi teladan, kehilangan elaun persaraan yang dijangka, perbelanjaan pengebumian, tiket kapal terbang, kos khas dan lain-lain.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit disediakan agensi pelancongan turut didapati tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah dengan mangsa yang telah menempah pakej lapan hari tujuh malam ke Pulau Pinang masuk lebih dahulu dalam kenderaan ketika kejadian.
Tambahnya, pihak pertama dan kedua gagal mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi untuk memastikan keselamatan kawasan parkir yang telah ditetapkan meskipun secara konsisten menarik pelancong dan menjual tiket kepada mereka termasuk kepada mangsa.
“Mereka gagal mengingatkan pihak ketiga iaitu tuan punya hartanah jiran untuk memangkas dan menyelenggara pokok berkenaan walaupun mengetahui pokok berkenaan telah membesar ke arah muzium.
“Pihak muzium juga tidak mengambil langkah munasabah untuk memastikan keselamatan mangsa dengan membenarkan mereka terus melawat muzium dalam keadaan cuaca buruk,” katanya.
Kian Nam berkata, pihaknya turut menghantar surat memohon klarifikasi kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan penjelasan mengapa notis berhubung risiko pokok tumbang hanya dikeluarkan kepada pemilik tanah selepas kejadian dan bukan sebelumnya.
“Kami mahu penjelasan sama ada pengendali muzium pernah membuat aduan rasmi mengenai risiko pokok itu,” katanya menambah jika MBPP gagal memberi respons atau penjelasan yang memuaskan, pihak berkuasa tempatan itu juga akan disertakan dalam tuntutan saman berikutnya.
Media pada 18 September lalu, melaporkan dalam dua pelancong warga China maut tersepit dalam kereta yang diparkir di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan selepas kenderaan itu dihempap pokok tumbang dan runtuhan konkrit.
Mangsa dilaporkan baru memasuki kereta selepas melawat rumah agam yang dijadikan muzium berkenaan dan pokok sebesar kira-kira tiga pemeluk terbabit dikatakan tumbuh membesar dan melekat pada bangunan dua tingkat bersebelahan premis itu sebelum tumbang.
BHonline-