KUALA LUMPUR: Lima daripada 142 agensi Persekutuan merekodkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi melalui kenyataan media susulan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 melalui Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023.
Beliau berkata analisis penyata kewangan bertujuan menilai prestasi kewangan agensi Persekutuan terhadap lima perkara iaitu Aset dan Liabiliti, geran Kerajaan Persekutuan, Pinjaman Diterima, Pelaburan dalam Syarikat Subsidiari serta Lebihan atau Kurangan Semasa seperti berikut:
“Perbandingan antara aset dan liabiliti mendapati 142 agensi Persekutuan mempunyai aset berjumlah RM2.696 trilion berbanding liabiliti berjumlah RM0.871 trilion.
“Bagaimanapun, lima daripadanya menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset,” katanya.
Berdasarkan dokumen LKAN 1/2025, antara agensi terbabit adalah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
PR1MA mempunyai liabiliti bersih berjumlah RM342.46 juta disebabkan oleh Dana Pinjaman (Sukuk) yang perlu diselesaikan sehingga 2027 dan tidak dapat ditampung oleh aset sedia ada.
Bagi SWCorp pula, liabiliti bersih berjumlah RM140.15 juta adalah disebabkan Pemiutang Syarikat Konsesi dan Perbelanjaan Terakru yang tinggi berbanding jumlah aset sedia ada.
Dalam pada itu, Wan Suraya berkata 98 daripada 142 agensi Persekutuan menerima geran berjumlah RM33.628 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada 2023 terdiri daripada geran mengurus sejumlah RM16.305 bilion dan geran pembangunan sejumlah RM17.323 bilion.
Sementara 97 Agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan berjumlah RM21.399 bilion.
“Daripada 142 agensi Persekutuan, 20 mempunyai pinjaman diterima berjumlah RM126.564 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan.
“Lima daripadanya adalah pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM99.058 bilion, manakala empat agensi membuat pinjaman baharu berjumlah RM7.309 bilion pada 2023,” katanya.
Tambahnya lagi, sebanyak 59 agensi Persekutuan mempunyai 217 syarikat subsidiari dengan pelaburan berjumlah RM65.145 bilion.
“Daripada jumlah itu, 191 syarikat subsidiari berstatus aktif manakala 26 berstatus dorman. Tiga daripada 217 syarikat subsidiari adalah syarikat baharu yang ditubuhkan dengan nilai pelaburan sejumlah RM85.96 juta.
“Sebanyak 131 (60.4 peratus) daripada 217 syarikat subsidiari telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM4.087 bilion, manakala baki 86 (39.6 peratus) syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM2.810 bilion,” katanya.
Pada 2023 juga, katanya sebanyak 39 agensi Persekutuan memberikan pendahuluan dan pinjaman kepada 94 syarikat subsidiari berjumlah RM16.849 bilion terdiri daripada pendahuluan kepada 81 syarikat subsidiari berjumlah RM14.105 bilion dan pinjaman kepada 13 syarikat subsidiari berjumlah RM2.744 bilion.
“Seterusnya, lebihan semasa selepas cukai dan zakat berjumlah RM73.886 bilion telah direkodkan oleh 97 agensi, manakala 45 agensi mengalami kurangan semasa berjumlah RM2.011 bilion pada 2023,” katanya.
-Berita Harian