PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempersoal tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil beliau susulan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menyifatkan ia bermotifkan politik, Loke turut mempertikai kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu sama ada ia cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadapnya memandangkan beliau adalah seorang menteri daripada DAP.
“Dia (Mas Ermieyati) kena faham struktur MAHB, seolah-olah dia keliru…. saya tak tahu dia tak faham ataupun sengaja tak nak faham MAHB ini sebuah syarikat tersenarai dan ia bukan di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Dia cuba nak mengaitkan isu ini dengan Kementerian Pengangkutan, saya tak tahu ada agenda politik atau tidak sebab kebetulan Menteri Pengangkutan ini daripada DAP, jadi dia nak salahkan DAP, apa pun (semua nak) salah DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Paduan Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mas Ermieyati tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Loke sebagai Menteri Pengangkutan berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata Loke bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua bulan ini.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.
MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, Kementerian Pengangkutan hanya bertindak sebagai badan kawal selia dan tidak memiliki sebarang ekuiti dalam MAHB.
Katanya, dalam isu MAHB ia membabitkan KWSP dan seharusnya mendapatkan penjelasan daripada tabung persaraan berkenaan.
“Jadi soal jual beli saham, untung rugi dalam penjualan saham itu tak ada kena-mengena dengan Kementerian Pengangkutan, saya pun tak faham apa yang dia nak tanya daripada kita sebab keputusan nak jual beli saham MAHB ini tidak terletak di bawah kita.
“Ia terletak di bawah pengurus dana institusi masing-masing dan yang keduanya sama ada itu kerugian atau tidak, biarlah KWSP jelaskan, bukan urusan saya untuk menjawab bagi pihak KWSP,” katanya.
Ditanya sama ada PAC sudah memanggilnya berhubung perkara itu, Loke berkata beliau masih belum menerima jemputan untuk berbuat demikian.
“Kalau ada apa-apa PAC nak minta kita bagi penjelasan, dia perlu berurusan secara rasmi dengan kementerian dan kita akan lihat apa skop yang dia nak tanya dan sebagainya.
“Kita juga ada hak untuk memperjelaskan kedudukan kita. Jadi kalau kedudukan ataupun skop yang nak dilihat itu bukan di bawah kita, kita akan tulis pada Speaker Dewan Rakyat bahawa ini tak ada kena mengena dengan Kementerian Pengangkutan.
“Jadi dalam kes ini, sangat jelas bahawa saya lihat ada agenda politik,” katanya.
BHonline-