Besut : Seekor anak buaya tembaga tersesat masuk ke kawasan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kampus Besut, pagi semalam.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, buaya berkenaan ditemukan di dalam sebuah kolam tadahan universiti berkenaan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung penangkapan reptilia sepanjang satu meter kira-kira 8.30 pagi.
“Sepasukan anggota Perhilitan digerakkan ke lokasi untuk mengambil haiwan berkenaan.
“Anak buaya itu didapati tersangkut pada jaring ketika kerja-kerja pembersihan kolam tadahan dilakukan oleh pekerja kebersihan UniSZA.
“Mereka kemudian bertindak menangkap haiwan terbabit sebelum menghubungi pihak Perhilitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, serahan buaya tembaga itu dibuat kepada anggota Perhilitan Daerah Besut bagi tindakan sewajarnya.
“Buaya terbabit akan dilepaskan kembali ke habitat asal untuk kemandiriannya,” katanya.
-Harian Metro