KUALA TERENGGANU : Bekas seorang guru besar sebuah sekolah di Marang, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan terbabit dalam Pengubahan Wang Haram yang bernilai lebih RM28,000 tiga tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tertuduh, Zalina Bidin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada Ogos hingga November 2022 didakwa telah membabitkan diri secara langsung dengan memberi arahan untuk memindahkan wang dan menerima wang berjumlah RM7,200 dan RM5,000, RM6,800, RM494, RM3,400, RM2,450 dan RM2,388.
Kesalahan itu dilakukan di tiga buah bank berasingan di daerah Kuala Terengganu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 41(1)(a) manakala lima lagi pertuduhan mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 30,000 dan menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Selain itu, tertuduh turut perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (SPRM) Tuan Ahmad Feisal Mohd Azmi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hazwan Hamidun.
-Berita Harian