AYER KEROH: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk bersama 17 individu lain direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan atas dakwaan menyogok penguat kuasa berkaitan kes memproses dan melupus sisa elektronik (e-waste) yang tidak dibenarkan.
Perintah reman sehingga 2 Mac ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap semua suspek terdiri daripada lima wanita dan 13 lelaki berusia antara 34 dan 62 tahun itu selepas dipohon pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Terdahulu, semua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di sini kira-kira 9.15 pagi tadi dengan menaiki tiga kenderaan SPRM.
Difahamkan, semua suspek ditahan antara 7 malam dan 11 malam semalam selepas dibawa ke pejabat SPRM Melaka untuk dirakam keterangan berhubung kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 16 (b) Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM menerusi operasi bersepadu Op X dilaporkan menahan 16 individu termasuk pemilik syarikat dan pegawai dagang kerana disyaki terbabit merasuah penguat kuasa bagi melindungi perniagaan mereka itu iaitu memproses serta melupus sisa e-waste yang tidak dibenarkan.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dipetik berkata, tangkapan dibuat hasil serbuan ke atas 12 premis sekitar Selangor dan Johor oleh pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
BHonline-