WASHINGTON: Helikopter tentera yang bertembung dengan pesawat penumpang minggu lalu di Washington didapati mematikan peranti penjejaknya ketika nahas berlaku, menurut Senator AS, Ted Cruz, seperti yang dilaporkan The New York Times (NYT).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Teknologi itu bertujuan membolehkan pengawal trafik udara mengesan pergerakan pesawat dengan lebih tepat.
Senator Republikan itu, yang juga anggota Jawatankuasa Senat Perdagangan, Sains dan Pengangkutan, menerima taklimat tertutup mengenai nahas itu daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).
Cruz menyuarakan kebimbangan mengenai teknologi penjejakan bagi helikopter Black Hawk yang dimatikan semasa misi latihan, lapor NYT semalam.
Apabila diaktifkan, teknologi berkenaan, dikenali sebagai Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B), akan menunjukan kedudukan, altitud dan kelajuan sesebuah pesawat, menurut laporan itu.
Menurut laporan sama, sistem ADS-B membolehkan pengawal trafik udara tidak bergantung sepenuhnya kepada radar yang mempunyai kelewatan beberapa saat, sekali gus menambah satu lagi lapisan keselamatan.
Pelanggaran maut di Sungai Potomac, Washington, antara helikopter tentera dan pesawat American Airlines minggu lalu meragut 67 nyawa. Ia adalah nahas udara paling buruk di AS dalam tempoh lebih 20 tahun.
BHonline-