Georgetown : Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung laporan dakwaan penemuan kira-kira 10 bangkai kucing dalam plastik di tempat pembuangan sampah, di Jelutong, di sini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya sudah ke lokasi kejadian bagi siasatan awal.
“JPV Pulau Pinang sudah ke tempat itu (lokasi kejadian) bagi siasatan awal dan siasatan diteruskan bagi mendapatkan bukti,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai gambar dan video tular memaparkan penemuan bangkai kucing dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di hadapan rumah perlindungan haiwan, di Jelutong dan disyaki dibunuh.
Turut tular ialah laporan polis yang dibuat pengadu selepas mendakwa melihat pasangan suami isteri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi membawa kucing liar disyaki dikutip daripada luar ke pusat berkenaan dipercayai bagi dilupuskan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dipetik berkata laporan itu dibuat oleh lelaki warga tempatan berusia 49 tahun dan kes diklasifikasi sebagai rujuk lain agensi (RLA) kepada JPV Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.
-Harian Metro