Semenyih : Sesi persekolahan dan kantin sekolah akan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak merujuk dan mematuhi garis panduan yang diterbitkan KPM.
“Sama (beroperasi seperti biasa). Ramadan macam biasa. Nak balik awal pun buat apa bukan boleh buka puasa awal pun.
“Setakat ini, kita ada garis panduan. Kita minta semua untuk rujuk garis panduan tersebut. Kita ambil maklum kalau ada keperluan khas isu tertentu.
“Tapi kita minta untuk lihat garis panduan itu dan patuhi (hal) berkaitan Ramadan ini. Sama saja (dengan pengoperasian kantin),” katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah JPN Selangor, Dr Jafri Abu.
Sementara itu, Fadhlina berkata KPM masih di peringkat sesi libat urus dengan pemegang taruh untuk menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, bertujuan mengatasi isu berkait kehadiran dan keciciran pelajar.
Katanya, beliau berharap kertas dasar itu dapat disiapkan secepat mungkin dengan harapan ia dapat dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
“Kita kini dalam sesi libat urus bagi meminda akta tersebut. Komitmen KPM melihat kepada kewajipan dasar pendidikan sekolah menengah. Jadi kita berharap sebenarnya dapat berada dalam rangkuman sesi Parlimen kali ini.
“Tapi sesi libat urus masih diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan semua pihak bersama dengan kita untuk mendokong dan menyokong pindaan kepada akta ini.
“(Kita sedang) Menunggu giliran. Harapan kita pada sesi ini tapi kalau tidak sesi Parlimen akan datang. Tapi (ketika ini) sesi libat urus sedang berlangsung,” katanya.
-Harian Metro