KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas ganja bernilai RM1.69 juta yang ditinggalkan di pesisir pantai Kuala Perlis, Perlis, pada 5 Februari lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapa berkata, sepasukan anggota Kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JKDM, menjalankan operasi khas jam 2 pagi berdasarkan maklumat yang diterima.
“Hasil operasi, pasukan penguat kuasa menemui 25 guni beras yang mengandungi 499 ketulan mampat bahan tumbuhan hijau disyaki ganja dengan berat kasar 545.35 kilogram (kg).
“Kejayaan penemuan dadah ini adalah hasil kolaborasi antara Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM serta Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (COBRA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah menggunakan laluan laut dari negara jiran dan mencampakkan guni-guni berisi dadah di pesisir pantai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
JKDM turut menggesa orang ramai untuk membantu dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan, termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan terlarang lain.
BHonline-