KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai tindakan tiga individu yang dikesan melepaskan tiga ekor ular sawa di kawasan longkang di Putra Heights, Selangor.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati ular sawa berkenaan telah dilepaskan pada pertengahan Januari lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Ketua Polis Balai Putra Heights dan mendapati ular itu dilepaskan pada pertengahan bulan lalu.
“Kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, laporan kejadian itu dibuat oleh pengadu seorang lelaki tempatan pada jam 10.15 pagi, 3 Februari lalu, selepas melihat satu video menerusi aplikasi WhatsApp dan telah melihat dua lelaki dan seorang wanita melepaskan tiga ekor ular sawa di kawasan longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights.
Katanya, pengadu datang ke Balai Polis Putra Heights dan membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.
Terdahulu, tular tindakan dua lelaki dan seorang wanita menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih menerusi satu video yang disiarkan dalam aplikasi Telegram.
BHonline-