KUALA LUMPUR – Kerajaan belum merancang untuk menukar subsidi minyak masak peket kepada bayaran tunai melalui MyKad kepada rakyat setakat ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata, kementeriannya sedang memperkasakan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) untuk memastikan bekalan minyak masak itu sampai kepada pengguna berstatus warganegara.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan projek rintis ECOSS sehingga ke peringkat pengguna berbanding sistem berkenaan sebelum ini dari kilang penapis minyak hingga ke peruncit sahaja.
“Setakat ini belum ada (rancangan) untuk menggunakan (MyKad) atau subsidi itu disalurkan terus (kepada pengguna).
“Akan tetapi cara kita (untuk) memastikan bahawa ia sampai kepada pengguna (menerusi) projek rintis 2025. Nanti kita akan menggunakan pengenalan diri (ID) atau satu bentuk ID supaya kita dapat kenal pasti warganegara yang boleh menggunakan bekalan tersebut,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) sama ada KPDN akan mempertimbangkan untuk menukar subsidi minyak masak peket kepada bayaran tunai melalui MyKad susulan isu subsidi minyak masak tidak sampai kepada golongan sasaran akibat ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, KPDN masih lagi berunding untuk mendapatkan kerjasama beberapa agensi dalam menjalankan projek rintis berkenaan.
Beliau berkata, KPDN turut tegas membanteras penyelewengan dengan mengambil tindakan menggantung dan menarik semula kuota minyak masak pihak yang melakukan kesalahan tersebut.
“Pada 2024 kita telah gantung sebanyak 16 syarikat dan kita tarik kuota daripada 30 syarikat yang menyalahgunakan amanah yang diberikan kepada mereka. Jadi ini adalah tindakan yang kita ambil secara serius dan dan kita tidak ada kompromi,” ujarnya.
Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN juga berpandangan kuota 60,000 tan metrik minyak masak peket bersubsidi di pasaran runcit ketika ini mencukupi.
“Kuota sedia ada ini mencukupi untuk memenuhi dan menampung keperluan berdasarkan kepada kadar penggunaan minyak masak yang kita telah kenal pasti siapakah yang harus atau wajar menerima manfaat tersebut,” katanya.
-Sinar Harian