HULU SELANGOR: Seorang remaja berusia 19 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, di sini semalam.
Perintah tahanan reman sehingga 28 Februari itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, jam 10.45 pagi dengan memakai baju lokap dan diiringi polis.
Semalam, media melaporkan suspek ditahan selepas disyaki mencabul seorang budak perempuan yang sedang bersolat Subuh.
Kejadian ketika mangsa sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita.
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit kini tersebar di media sosial, memaparkan kejadian itu.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah belakang dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, hingga menyebabkan tindakan lelaki itu tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud.
Dalam rakaman berasingan lelaki itu dilihat bergelut, meraba, memeluk dan cuba melondeh seluar mangsa. Ia bagaimanapun melarikan diri selepas mangsa melawan.
Susulan kejadian itu, lelaki terbabit ditahan di kediamannya yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid terbabit pada 10 pagi semalam.
BHonline-