GOMBAK : Seorang warga Indonesia yang sebelum ini dilapor kritikal susulan kejadian tembakan di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting pada 24 Januari lalu, meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, semalam.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu meninggal dunia awal pagi tadi, sekali gus menjadikan bilangan yang maut dalam kejadian awal pagi itu kepada dua orang.
Sebelum ini seorang dilapor maut, manakal empat lagi cedera selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dilaporkan menyerang pegawai penguat kuasa yang sedang melakukan rondaan di perairan Tanjung Rhu.
Mengulas lanjut, Hussein berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menahan dua lagi individu yang dipercayai turut berada dalam bot sama pada hari kejadian, baru-baru ini.
“Saya pernah beritahu (sebelum ini) dalam bot ada lagi individu-individu yang larikan diri.
“(Susulan itu) dalam operasi PGA di kawasan berkenaan (di) Pulau Carey pihak PGA (menahan) beberapa individu (dan) dua daripada mereka (berada) dalam bot berkenaan (pada hari kejadian).
“Dua individu itu warga Indonesia dan berusia 30-an,” katanya pada sidang media Op Palu, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, setakat ini polis sudah merekodkan keterangan 31 individu berhubung kes itu yang membabitkan semua termasuk Maritim Malaysia.
“Sehingga kini kertas siasatan sudah lengkap dan dirujuk kepada pihak Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
“Kita juga masih sedang mengesan seorang lagi warga Indonesia yang diburu dan turut mendapatkan kerjasama Kedutaan Indonesia di Malaysia untuk mengesan individu terbabit,” katanya.
-Berita Harian