NILAI -Sebuah kilang karpet di Nilai 3 di sini dilaporkan terbakar awal pagi Jumaat memusnahkan hampir keseluruhan struktur bangunan satu tingkat itu.
Difahamkan kilang sama pernah terbakar beberapa tahun lepas sebelum didirikan bangunan baharu yang turut mengalami nasib sama.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sembilan memaklumkan, laporan berhubung kejadian diterima jam 7. 49 pagi.
Menurutnya, seramai 58 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Mantin l, Rantau dan Seremban 2 ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan bangunan kilang berkeluasan 1,200 kaki persegi terbakar memusnahkan hampir 80 peratus struktur bangunan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi jam 8.01 pagi dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.55 pagi,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa.
Ujar kenyataan itu, pemadaman sedang dijalankan secara offensive susulan terdapat beberapa risiko merbahaya seperti runtuhan struktur dan arus elektrik.
Katanya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
-Sinar Harian