PUTATAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) akan melakukan pemantauan di Bazar Ramadan seluruh negara, tahun ini, bagi memastikan tiada sebarang elemen pencatutan dilakukan peniaga.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata bazar adalah antara lokasi tumpuan anggota penguat kuasa KPDN pada setiap Ramadan, selain meneruskan rutin pemeriksaan di tempat seperti pasar raya, pasar basah dan pasar mini.
“Kita mahu tiada peniaga yang mengambil kesempatan menjual juadah berbuka puasa pada harga terlalu mahal,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Fuziah berkata, hasil tinjauannya ke premis pembungkusan minyak masak di sekitar Kota Kinabalu pula mendapati semua proses terbabit berjalan lancar.
Beliau berkata, KPDN akan sentiasa memastikan bekalan minyak masak bersubsidi adalah mencukupi, termasuk pada Ramadan dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
“Kita perlu tengok pengedar setiap zon, adakala pengeluaran mereka tidak banyak setiap bulan kerana kuota ditetapkan telah habis. Namun secara keseluruhan, bekalan minyak masak bersubsidi adalah stabil di Sabah,” katanya.
-Berita Harian