NILAI – Kebakaran yang berlaku di kedai karpet di Nilai 3 pada Jumaat telah 95 peratus berjaya dipadamkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, operasi memadam keseluruhan sisa kebakaran dijangka selesai jam 2 petang ini.
“Walaupun api telah berjaya dikawal jam 8.50 pagi semalam, tapi kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran dilakukan berterusan sehingga pagi ini dan dijangka selesai sepenuhnya jam 2 petang.
“Setakat ini sudah 95 peratus api berjaya dan kita mengambil masa lebih kurang 28 jam untuk memadam sepenuhnya kebakaran berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, pihaknya berdepan sedikit kesukaran untuk memadam sepenuhnya sisa-sisa kebakaran kerana runtuhan premis telah menutup bara api di bawahnya.
Oleh sebab itu katanya, pihaknya terpaksa menggunakan jentera berat untuk menarik keluar runtuhan tersebut bagi memudahkan pemadaman api sepenuhnya.
“Jadi kita perlu membuat pemeriksaan sepenuhnya di lokasi kerana dibimbangi api berulang.
“Punca dan kos kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, sebuah kedai karpet berkeluasan 120,000 kaki persegi di Nilai 3 terbakar dalam kejadian jam 7.49 pagi pada Sabtu.
Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan pemiliknya menganggarkan mengalami kerugian hampir RM30 juta selepas stok bagi jualan Aidilfitri turut musnah.
SinarHarian-