PARIT – Operasi mencari dan menyelamat dua pelajar sekolah yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perak dekat Kampung Tepus, Tanjung Belanja di sini tertumpu di kawasan perlombongan pasir dan sangkar ikan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, lokasi tersebut berada dalam radius 1 hingga 3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian awal pasukan mencari dan menyelamat, kedua-dua mangsa berkemungkinan tidak jauh dihanyutkan arus sungai.
“Walaupun semalam ada sedikit hujan, tetapi paras air tidaklah tinggi dan keadaan pasir pula tiada halangan, jadi kemungkinan mangsa tidak pergi jauh.
“Buat masa ini kita tumpu di kawasan tersebut dan sekiranya Unit Anjing Pengesan (K9) dapat titik lokasi baharu, maka tumpuan operasi akan diperluaskan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Isnin, mangsa, Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham dan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain masing-masing berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah hilang dibawa arus ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakan bermain bola di kawasan beting pasir sungai berkenaan.
Sayani berkata, operasi pencarian melalui kaedah ‘surface searching’ yang dilakukan pada sebelah pagi, gagal menemui kedua-dua mangsa.
Katanya, pasukan mencari dan menyelamat akan menggunakan kaedah pusaran air di titik lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk baharu mangsa.
“Jika kemungkinan mangsa di bawah, maka dengan kaedah ini mangsa akan timbul.
“Harapan kita begitulah sekiranya mangsa tidak tersangkut sama ada di pasir atau sangkar ikan,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat disertai 69 anggota dengan menggunakan 12 bot melibatkan pasukan bomba, polis dan penduduk kampung.
Setakat jam 4 petang, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.
SinarHarian-