KUALA LUMPUR : Strategi penyusunan semula atau ‘right-sizing’ PETRONAS adalah langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat minyak dan gas nasional itu dan mencerminkan trend industri global, bukannya disebabkan oleh krisis kewangan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata sektor minyak dan gas (O&G) global sedang mengalami perubahan struktur, dan PETRONAS sedang menyesuaikan diri sebelum keadaan memaksa tindakan drastik.
“PETRONAS bukan memberhentikan pekerja tetapi mengoptimumkan tenaga kerja untuk meningkatkan kecekapan dan kelangsungan jangka panjang. Tumpuan adalah terhadap pengurangan peranan pentadbiran yang berlebihan, manakala peranan teknikal dan operasi kekal kritikal.
“Maksud ‘right-sizing’ adalah menyesuaikan tenaga kerja mengikut keperluan perniagaan, bukan semata-mata untuk mengurangkan kos tetapi menghapuskan lebihan dan menempatkan semula bakat di tempat yang diperlukan.
“Banyak syarikat minyak dan gas (O&G) global, termasuk Shell dan ExxonMobil, sedang menjalani penyesuaian tenaga kerja yang serupa,” katanya kepada BH.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik, pada Jumaat lalu berkata, langkah penyusunan semula PETRONAS adalah untuk memastikan syarikat minyak nasional itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada masa ini, PETRONAS mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya adalah pemangkin utama.
Perubahan dan dinamik sektor minyak dan gas global menuntut PETRONAS membuat perubahan bagi mendepani cabaran masa depan, katanya sambil menambah ia merupakan proses yang telah lama tertangguh.
Katanya, untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, yang bermaksud melabur dan berkembang, misalnya dalam tenaga hijau, PETRONAS perlu mempunyai tenaga kerja yang bersesuaian untuk memenuhi permintaan pelanggannya.
Mengulas lanjut Samirul berkata, perkembangan itu adalah trend global dalam industri O&G disebabkan oleh tekanan peralihan tenaga, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan hijau.
“Selain itu, terdapat juga kebimbangan terhadap keuntungan seperti penurunan margin dan risiko tinggi dalam projek huluan. Malahan, ada keperluan kecekapan operasi antaranya mengurangkan kos pentadbiran, mempercepat proses membuat keputusan.
“Industri ini telah lama menyedari cabaran struktur, tetapi syarikat biasanya bertindak ketika keadaan kewangan masih stabil, bukan apabila krisis memaksa pemotongan drastik.
“PETRONAS kini berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh, jadi ia boleh menyusun semula secara strategik dan bukan secara reaktif,” katanya.
Beliau menambah, keputusan itu juga dibuat kerana ketidaktentuan pasaran seperti trend harga minyak dan perubahan geopolitik yang memerlukan model perniagaan yang lebih tangkas dan cekap kos.
“Jangkaan yang semakin meningkat daripada pihak berkepentingan seperti kerajaan, pelabur ESG, kerajaan negeri memerlukan PETRONAS mengambil pendekatan yang lebih mampan dan pelbagai di luar industri minyak dan gas tradisional,” katanya.
-Berita Harian