KUALA LUMPUR : Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang akan dilaksanakan oleh PLUS Malaysia Bhd adalah atas usaha persendirian syarikat konsesi itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata selepas Perjanjian Pelantikan (AA) Central Tolling Company (CTC) antara pihak kerajaan dan syarikat pencadang iaitu KJS-SEP JV yang berakhir pada 16 Disember 2024, pihak konsesi berhak melaksanakan MLFF sendiri.
“Pihak konsesi ada hak melaksanakan MLFF mereka sendiri walaupun tertakluk kepada arahan dan hala tuju (MLFF) yang akan diputuskan Kabinet.
“Berkenaan kerjasama rentas kementerian, kita sememangnya perlu mendapatkan maklumat dan pandangan daripada MOT (Kementerian Pengangkutan), MOF (Kementerian Kewangan), AGC (Jabatan Peguam Negara) dan UKAS (Unit Kerjasama Awam-Swasta),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung perkembangan kerjasama rentas kementerian susulan ujian perintis MLFF akan dimulakan pada April depan.
Menjawab soalan asal Ka Siong mengenai pendirian kerajaan dalam memuktamadkan hala tuju MLFF dan status terbaharu rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya, Ahmad berkata, kementerian masih komited melaksanakan sistem kutipan tol secara MLFF dalam memastikan keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya.
“Justeru, pihak kementerian akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Jemaah Menteri berkaitan kaedah pelaksanaan MLFF ini dalam tempoh terdekat.
“MLFF adalah inisiatif kementerian bagi masa depan untuk sistem kutipan tol, sejajar pelan pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar Negara (ITS).
“Melalui sistem itu pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol, seterusnya melancarkan lagi aliran trafik di kawasan plaza tol,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kamera pengesanan nombor plat automatik (ANPR) yang berupaya mengesan kenderaan berserta maklumat pengguna bagi tujuan pembayaran tol lebih lancar.
Selain itu, katanya, reka bentuk lebuh raya baharu juga disesuaikan dengan teknologi yang bersedia untuk pelaksanaan sistem kutipan tol secara MLFF.
Mengulas mengenai penamatan perjanjian pelantikan itu, Ahmad menjelaskan, tiga pihak utama iaitu kerajaan, 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada dan syarikat pencadang tidak dapat mencapai persetujuan untuk memuktamadkan rundingan dalam tempoh tiga tahun sejak perjanjian dimeterai pada 17 November 2022.
Selepas tempoh tiga tahun tidak dapat mencapai persetujuan untuk memuktamadkan rundingan, katanya, secara automatik perjanjian pelantikan itu terbatal.
–BERNAMA