Kuala Lumpur : Dua pegawai kanan sebuah persatuan sukan ditahan semalam kerana disyaki membuat sejumlah tuntutan palsu membabitkan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurut sumber, kedua-dua lelaki tempatan berusia 60-an itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, 4 petang semalam.
“Suspek pertama yang juga presiden persatuan berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2023 hingga 2025.
“Suspek disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan setiausaha kehormat memindahkan sebahagian daripada sumbangan kira-kira RM1.3 juta yang diterima daripada KBS dari akaun persatuan ke akaun miliknya dan anaknya.
“Suspek kedua, bekas setiausaha kehormat pula dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2023 hingga 2024,” katanya hari ini.
Sumber berkata, suspek kedua disyaki membuat tuntutan mengandungi butir matan palsu berkaitan bayaran latihan berjumlah RM15,000 dan subsidi peralatan sukan bernilai RM12,000.
Katanya, tuntutan palsu itu dibuat kepada Majlis Sukan Negeri sedangkan program latihan dan pembekalan peralatan sukan terbabit tidak wujud.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga 17 Februari.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM.
-Harian Metro