KLUANG: Pasangan suami isteri nekad mengejar sebuah kereta dinaiki tiga suspek sejauh dua kilometer selepas penjenayah itu cuba membunuh mereka dalam kejadian di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini, semalam.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Dian, berkata usaha itu berjaya mendapatkan plat kereta penjenayah terbabit iaitu sebuah Perodua Bezza.
Dian yang masih trauma dengan kejadian itu, berkata pada mulanya dia didatangi tiga lelaki bertanyakan pemilik rumah dan kenderaan sebelum mengacukan pistol.
Katanya, tiga lelaki terbabit berdiri di tepi tembok dalam anggaran jarak kurang 10 meter.
“Salah seorang suspek bertanya siapa pemilik rumah dan kereta. Belum sempat saya menjawab, salah seorang suspek mengacukan pistol dan melepaskan empat das tembakan.
“Tembakan nyaris terkena pinggang saya, tetapi tersasar terkena bingkai pintu, dinding rumah manakala dua lagi das tembakan tembus di meja makan di depan rumah.
“Saya sempat mengambil penyapu manakala suami ambil parang di dapur untuk pertahankan diri. Saya juga jerit minta tolong daripada jiran,” katanya.
Beliau berkata, selepas itu jiran mula datang dan semua suspek lari ke arah kereta sambil melepaskan dua lagi das tembakan.
“Saya dan suami terus menaiki kereta mengejar kereta suspek,” katanya.
Dian berkata, sebelum itu, dia dan suaminya baharu sampai ke rumah selepas menguruskan hal yuran sekolah agama anak lelaki tunggal mereka yang berusia 10 tahun.
“Saya, suami, ibu berusia 60 tahun, anak asuhan berusia tiga tahun dan anak lelaki kami berehat di rumah pada sebelah tengah hari,” katanya.
Dian berkata, kini mereka sekeluarga masih dalam keadaan ketakutan kerana masih terdapat beberapa suspek yang masih diburu polis.
“Setakat ini diberitahu hanya seorang saja sudah ditahan di Simpang Renggam. Saya amat risau keselamatan keluarga terutama ibu dan anak saya. Sampaikan ada orang datang beri salam saya terus capai apa sahaja barang untuk pertahankan diri kerana takut saki baki geng mereka datang rumah.
“Namun, pihak polis turut memantau kawasan rumah saya selain orang kampung turut membantu,” katanya.
Ketika ditanya, mengenai motif kejadian, Dian enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.
Dian dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Johor Bahru yakin pihak polis akan menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.
“Kesan tembakan masih dapat dilihat dan kami harap semua suspek dapat ditangkap segera,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian terdapat tiga kenderaan mencurigakan melalui jalan di hadapan rumah mangsa.
“Kejadian tembakan itu berlaku di rumah jiran saya, pada mulanya saya tak tahu kes itu terjadi.
“Sebab waktu kejadian, saya baru sahaja keluar dari rumah dan semasa dalam perjalanan itu saya berselisih dengan tiga kereta iaitu Volkswagen Golf warna biru hitam, Honda Civic kelabu hitam dan Perodua Bezza warna maroon.
“Saya tak pasti cermin kereta berkenaan gelap atau tidak sebab semuanya dipandu laju tak tentu arah dalam kawasan kampung.
“Saya tak sangka langsung kereta itu menghala ke rumah jiran dan tak lama selepas itu ibu telefon kata depan rumah ada kes tembak,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri nyaris maut apabila tiga lelaki bersenjata pistol melepaskan tembakan ke arah mereka tetapi tidak mengenai sasaran di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam.
BHonline-