KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan umat Islam khususnya rakyat Selangor supaya terus berusaha memperkukuhkan akidah dan keimanan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pada masa sama, baginda turut menasihatkan umat Islam supaya mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Baginda bertitah, apabila setiap umat mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki serta memantapkan keyakinan kepada Allah, penganut Islam tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir luar.
“Sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyat yang menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
“Pada masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui Islam adalah agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan,” titahnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Sultan Sharafuddin turut berpendirian tegas bahawa baginda tidak bersetuju cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sedang memuktamadkan garis panduan berhubung pembabitan umat Islam pada sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam khususnya di Selangor.
Baginda berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu tidak sesuai ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi perpaduan nasional.
“Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak sesuai, pada ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Polemik yang tercetus ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pasti akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin,” titahnya.
Baginda bertitah, Islam menerusi al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di negara ini.
Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam mengetahui batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memutuskan tiada keperluan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Sehubungan itu, beliau berkata perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Menurutnya, sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, kepentingan kaum dan agama lain di negara ini juga harus dijaga bagi memelihara keamanan.
Sebelum ini, media melaporkan JAKIM sedang memuktamadkan garis panduan berkenaan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, perkara itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
Menurutnya, ia juga melengkapi Garis Panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.
Antara kandungannya ialah berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan mesti tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
BHonline-