PELABUHAN KLANG: Penjenayah yang ditembak mati di Pulau Ketam, dekat sini awal pagi tadi sempat melakukan lima jenayah lain selepas terbabit kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, minggu lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dengan suspek sempat melakukan jenayah samun, pecah rumah, peras ugut serta curi kenderaan sepanjang tempoh melarikan diri dari polis.
Dalam tempoh sama juga, katanya penjenayah dikenali ‘Ah Boy’ itu sempat melarikan diri ke selatan tanah air selama lima hari, sebelum berpatah balik ke Banting, kemudian ke Sabak Bernam dan seterusnya ke Pulau Ketam, dua hari lalu.
“Cara suspek bergerak dari Klang dia mengugut pemandu Grab untuk hantar dia sampai ke Melaka… di Melaka juga dia menggunakan kaedah sama ugut orang awam iaitu pemandu lori untuk ke Banting.
“Suspek juga mencuri motosikal sampai ke Sabak Bernam dan di situ dia ugut pula pemandu lori untuk lari ke Klang (Pulau Ketam),” katanya ketika sidang media, di Jeti Pulau Ketam di sini, hari ini.
Terdahulu, suspek yang diburu polis susulan kes tembak di pusat beli-belah pada 8 Februari lalu itu dilapor maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan pihak polis di Pulau Ketam, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Hussein berkata ketika di Sabak Bernam, suspek melakukan jenayah pecah rumah dengan menunjukkan senjata api dimiliki, selain samun sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kes jenayah dilakukan suspek termasuk rekod jenayah lampau.
“Penjenayah ini tiada kenderaan sendiri dan dia bergerak menggunakan pengangkutan orang ramai dengan mengugut menggunakan senjata,” katanya.
BHonline-