Kangar : Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri dan turut serta melakukan upacara perayaan keagamaan bukan Islam di Perlis.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Muftinya, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara berkenaan pernah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-29 pada pada 18 hingga 19 April 2017.
“Melakukan kebaikan kepada golongan bukan Islam oleh orang Islam adalah sesuatu yang dituntut namun usaha melakukan kebaikan itu sama sekali tidak boleh bertentangan dengan akidah.
“Menghadiri dan turut serta melakukan upacara perayaan keagamaan bukan Islam adalah tidak dibenarkan kerana ia berkaitan dengan amalan ritual agama bukan Islam ataupun tasyabbuh yang dilarang iaitu menyerupai amalan agama selain Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Katanya, syarat tidak meredai kekufuran meskipun sekiranya ada keperluan untuk melakukan hal sedemikian seperti kaum keluarga, jiran tetangga dan kepimpinan masyarakat atas dasar menjaga kemaslahatan atau kepentingan dakwah.
“Dalam konteks ucapan selamat bersempena dengan perayaan bukan Islam pula ia adalah isu yang menimbulkan perbezaan pandangan ulama.
“Namun begitu, berdasarkan realiti di negara ini, adalah diharuskan ucapan selamat kepada bukan Islam jika amalan ini menjadi budaya dan bukan lagi amalan keagamaan.
“Ini dengan syarat ungkapan itu tidak mengandungi maksud kesyirikan atau kekufuran,” katanya.
Beliau berkata, keharusan ini tertakluk kepada keperluan seperti menjaga kemaslahatan atau kepentingan dakwah.
Pada 4 Februari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dipetik berkata garis panduan itu akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Memberi contoh, garis panduan itu mencakupi hal menyentuh ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
Selain itu, ia turut terkait soal pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
-Harian Metro