KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Salor Baru – Pasir Mas di sini pada Ahad selepas dipercayai terlelap ketika menunggang motosikal.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150i dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Pasir Mas.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami microsleep sebelum motosikal ditunggang memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang melihat kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315 bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rosdi menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, terutama ketika menunggang atau memandu dalam keadaan letih bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Pastikan diri dalam keadaan segar dan cukup rehat sebelum memulakan perjalanan, terutama pada waktu malam yang berisiko tinggi untuk berlaku microsleep.
“Patuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
-Sinar Harian