SUNGAI BESAR: Polis menahan seorang wanita dan anak perempuannya bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad, berkata suspek pertama berusia 41 tahun itu diberkas sekitar jam 6.15 petang semalam di pekarangan sebuah kilang di Meru, Klang.
Susulan pandu arah oleh tangkapan pertama, beliau berkata, polis kemudian menahan suspek kedua berusia 18 tahun yang juga seorang pekerja restoran makanan segera, kira-kira jam 8.30 malam hari sama di Meru.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek pertama dipercayai tidak mengetahui anak perempuannya itu mengandung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza, pakaian, telefon bimbit dan barangan lain daripada kedua-dua suspek.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek telah dimohon di hadapan Majistret Kuala Selangor, dan mereka direman empat hari bermula semalam hingga 29 Mac ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pengunjung sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, gempar apabila menemui mayat seorang bayi dalam tandas.
Dalam kejadian sekitar jam 11.15 pagi Ahad lalu, mayat bayi itu dijumpai terlangkup dalam lubang tandas.
BHonline-