Kuala Lumpur: Menjual kad sim yang didaftarkan atas nama individu lain, dengan sasaran ‘pelanggan’ adalah pelancong senegara yang baru tiba di lapangan terbang.
Itu tindakan sembilan lelaki warga Bangladesh dipercayai ulat kad sim yang ditahan di ruang legar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Penahanan itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dalam operasi khas membanteras ulat kad sim warga asing bermula jam 1.30 tengah hari.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 50 tahun hasil pemeriksaan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Menurutnya, pihaknya turut merampas empat pasport Bangladesh, 10 unit telefon bimbit, 121 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi, lapan jarum pembuka kad sim dan wang tunai bernilai RM1,555.
“Modus operandi digunakan oleh ulat kad sim warga Bangladesh itu adalah menyasarkan pelancong warga negarea sama yang baru tiba di KLIA dengan menjual kad sim secara langsung.
“Kad sim daripada pelbagai telco Malaysia akan didaftarkan atas nama individu lain dan dijual dengan harga RM25 sekeping,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati hasil penjualan kad sim itu boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan pihak berkenaan dipercayai sudah aktif beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Semakan awal mendapati lima individu yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, dua individu sudah tinggal melebihi masa, manakala dua lagi dipercayai melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Semua warga asing berkenaan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Zakaria berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kami akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
-Harian Metro