SEREMBAN – Perbuatan terkutuk seorang bapa yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuan berusia 12 tahun lapan bulan dan memiliki video serta gambar lucah mangsa terbalas apabila dia dijatuhi penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 43 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lapan bulan ketika kejadian yang mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.
Kejadian itu berlaku lebih kurang jam 11.30 malam pada Januari 2024 dan kira-kira jam 7.30 malam pada Mac tahun sama di sebuah rumah dekat Gemas.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Jika disabitkan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat manakala bagi Seksyen 16 Akta 792, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat tidak kurang dua sebatan.
Mengikut satu lagi pertuduhan, tertuduh didapati memiliki empat gambar dan empat video bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu mangsa sama di dalam telefon bimbitnya yang dirampas.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tampin kira-kira jam 8 malam 6 Mac lalu.
Bagi pertuduhan ini, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 10 Akta 792 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dan memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Menurutnya, jenayah yang dilakukan tertuduh agak serius kerana mangsa baru berusia 12 tahun ketika kejadian selain kanak-kanak itu juga adalah anak kandung tertuduh sendiri yang sepatutnya dilindungi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bekerja sebagai ‘wireman’ dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan dan menanggung tiga lagi anak.
Tambahnya, isterinya sudah melarikan diri sebelum ini dan kini tiga anaknya tinggal bersama adik dan abang tertuduh di sebuah rumah yang disewanya di Gemas.
Bagi kesalahan amang seksual, Surita menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun yang berjalan dari tangkap iaitu 6 Mac serta empat sebatan.
Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah pula, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkap.
Hukuman penjara bagi pertuduhan dihadapi berjalan serentak.
SinarHarian-