KUALA LUMPUR: Bekas bintang Barcelona dan Liverpool, Luis Garcia sah menyertai pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkembangan itu diumumkan JDT dengan Garcia yang juga pemenang Liga Juara-Juara dan bekas pemain antarabangsa Sepanyol dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu.
JDT menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers menjelaskan pelantikan itu berkuat kuasa 1 April ini berikutan penstrukturan bagi mengukuhkan dan memaksimumkan kepakaran pengurusan kelab.
“Bekas pemain Barcelona, Liverpool dan Atletico Madrid itu juga adalah pemegang Lesen Pro UEFA dan Sarjana Eksekutif UEFA untuk pemain antarabangsa selain peranannya selaku duta untuk FIFA, UEFA dan LaLiga.
“Penstrukturan semula itu juga melihatkan Alistair Edwards kini menggalas dua peranan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu dan Pengarah Teknikal kelab.
“Jawatan yang pernah disandang oleh bekas legenda antarabangsa Australia dan Johor dari 2017 hingga 2022, dimana beliau melakarkan pembangunan belia dan membentuk kejayaan Akademi JDT,” kata JDT.
Rabu lalu, BH Sukan melaporkan pentas saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal dihiasi dengan kehadiran bekas bintang Liverpool dan Barcelona.
Ia susulan nama Garcia dikatakan bakal menyertai barisan pengurusan tertinggi sebuah kelab ternama dalam Liga M dengan dia didakwa akan menggalas peranan sebagai CEO bersama kelab berkenaan.
Sepanjang bersama Liverpool, Garcia meraih beberapa kejayaan termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2005 dan Piala FA (2006).
Garcia juga memiliki pengalaman dalam arena bola sepak Asia dengan dia pernah bersama kelab India, Atletico Kolkata dan kelab Australia, Central Coast Mariners.
BHonline-