PUTRAJAYA: Seorang buruh yang mengaku bersalah kerana merogol seorang penjawat awam dua kali dan menceroboh rumah mangsa, dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun dengan 20 sebatan.
Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Hassan Ahmad untuk menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 10 tahun yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan merogol, secara serentak.
Beliau berkata, kesalahan rogol itu dilakukan secara berasingan dan oleh itu hukuman penjara mesti dijalani secara berasingan.
“Anda bernasib baik kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan balas, kerana hukuman maksimum bagi kesalahan ini adalah lebih berat. Fakta kes menunjukkan perbuatan itu dilakukan dalam bulan Ramadan dan tindakan anda kejam,” katanya ketika mengekalkan hukuman penjara dan sebatan dijatuhkan Mahkamah Sesyen, yang kemudiannya disahkan Mahkamah Tinggi.
Selain hukuman penjara, Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengenakan 20 sebatan terhadap Hassan.
Ahmad Zaidi bersidang bersama Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin.
Hassan mengemukakan rayuan agar hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan rogol pertama dijalankan secara serentak dengan hukuman 10 tahun bagi kesalahan rogol kedua, akan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada 20 tahun.
Namun, lelaki itu tidak merayu terhadap hukuman penjara tiga tahun dikenakan ke atasnya kerana menceroboh apartmen mangsa.
Lelaki berusia 44 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada 16 Ogos 2023 atas dua pertuduhan merogol seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah perumahan kerajaan di Ipoh, Perak.
Kes pertama berlaku antara jam 10 malam pada 17 April 2023 hingga 1.47 pagi keesokan harinya, manakala kesalahan kedua berlaku antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada 18 April 2023 di lokasi sama.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan rogol pertama dan 10 tahun penjara serta 10 sebatan bagi pertuduhan rogol kedua. Mahkamah memerintahkan hukuman 10 tahun itu dijalani secara berasingan selepas Hassan selesai menjalani hukuman 20 tahun.
Bagi pertuduhan menceroboh, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun juga secara berasingan selepas selesai hukuman kesalahan rogol. Rayuan Hassan terhadap hukuman penjara itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Mei 2024.
Di Mahkamah Rayuan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah mengekalkan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen, sambil menyifatkan jenayah tersebut sebagai keji kerana perayu (Hassan) sebelum ini pernah ke rumah mangsa untuk membaiki kabinet.
Beliau berkata pada hari kejadian, perayu menceroboh masuk ke rumah mangsa, bersembunyi di dalam almari di bilik tidur mangsa, lalu menyerang mangsa dengan mengacukan pisau ke lehernya serta mengugut untuk membunuhnya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Teluk Intan S. Kumaresan, bagaimanapun memohon agar hukuman penjara bagi kesalahan rogol dijalankan secara serentak.
Bernama-