KLUANG: Dua beradik maut selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara dalam perjalanan ke sekolah, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya yang membonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16.
Bahrin berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pada jam 8.20 pagi, polis menerima makluman daripada orang awam berkaitan kemalangan itu.
“Siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang mangsa dari arah Felda Inas menghala ke bandar Tenggara.
“Motosikal ditunggang dua beradik itu itu dipercayai melanggar lubang jalan lalu terbabas, menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.
“Mayat dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ )1987.
BHonline-