Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah suspek dalam siasatan isu perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menerajui negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan itu pihaknya akan memanggil semula Ismail Sabri bagi membantu siasatan pada Rabu ini.
“Sebelum ini beliau sudah menghantar kepada kami notis pengisytiharan harta pada 10 Februari lu sebelum dipanggil untuk diambil keterangan pada 19 Februari.
“Saya mengesahkan beliau sudah dirakam percakapannya dalam beberapa jam bagi membantu siasatan berhubung kes Keluarga Malaysia ini.
“Dalam hal ini saya boleh katakan beliau adalah suspek kerana pertama Seksyen 36 sudah diberikan kepada beliau untuk membuat perincian harta dan yang kedua bila terjumpa wang tunai yang mengaitkan beliau maka kita perlu dapatkan penjelasan berhubung penemuan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Azam berkata, setakat ini sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta sudah dibekukan bagi membantu siasatan.
“Kebanyakan akaun adalah milik empat suspek yang ditahan sebelum ini manakala bagi akaun Datuk Sri Ismail Sabri masih belum dibekukan kerana akaun beliau sedang disiasat dan kita sedang meminta penjelasan daripada beliau untuk menerangkan akaun yang ada.
“Kita perlu selesaikan cepat siasatan yang dijalankan ini dengan memanggil ramai lagi saksi-saksi baru, dalam minggu ini enam atau tujuh lagi saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan,” katanya.
Menurutnya, dokumen berkaitan juga sedang diteliti dan siasatan bukan sahaja mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
“Siasatan turut dijalankan mengikut, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Pada 23 Februari lalu media melaporkan SPRM menahan empat bekas pegawai yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sumber rapat SPRM mengesahkan penahanan empat pegawai terbabit dan sudah mendapatkan perintah reman ke atas mereka di Mahkamah Putrajaya.
-Harian Metro