SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan mahu menjadi jaguh berhubung isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.
Perdana Menteri berkata, ketika ini pihak berkaitan sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Masalahnya ada penunggang agama termasuk peguam yang tidak pernah terbabit dalam kegiatan agama Hindu terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).
“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini, hari ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta di Jalan Masjid India, yang sebahagian kecil menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL melalui kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
Anwar berkata, tanah terbabit bukan milik kerajaan sebaliknya swasta sejak tahun 2012 dan pemilik memutuskan untuk membangunkan masjid di lokasi itu.
“Jadi kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah tetapi bagi pastikan hubungan kita harmoni, syarikat (pemilik tanah) setuju untuk menyalurkan sedikit bantuan manakala pihak DBKL sebenarnya sudah mencari tapak tanah ganti supaya tidak menjadi masalah.
“Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka (pihak kuil) mendapat tapak yang sah dan diiktiraf, mudah-mudahan diselesaikan dengan baik.
“Saya harap tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan,” katanya.
BHonline-