KUALA LUMPUR: Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) akan mendedahkan secara terperinci kegiatan kartel dalam jual beli tapak lot bazar Ramadan di kawasan ibu negara, esok.
Ini berdasarkan surat jemputan sidang media daripada persatuan berkenaan yang diterima hari ini, dengan tajuk ‘Jemputan Sidang Media: Pendedahan Kartel Bazar Ramadan 1446H di Premis Milik Agensi DBKL, MARA & UDA’.
Pada minggu lalu, Presiden PPPBWPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman dilaporkan berkata, pihaknya sedang melengkapkan sedikit saja lagi bukti wujudnya kegiatan kartel berkenaan sebelum mahu mendedahkannya.
Beliau berkata, isu jual tapak lot bazar ini sedang diperincikan dan pihaknya mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas termasuk membatal dan menyita lot berkenaan apabila nombor tapak lot itu didedahkan.
“Jelas apa yang saya nyatakan pada sidang media beberapa minggu sebelum Ramadan, penjualan tapak lot bazar Ramadan memang berlaku,” katanya.
Semalam turut tular di media sosial, persatuan diketuai sendiri oleh Rosli menerjah kawasan siar kaki sebuah kompleks beli-belah terkenal di ibu kota yang juga satu daripada lokasi bazar Ramadan.
Antara dapatan beliau menurut video yang tular itu, terdapat warga asing turut berniaga di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL sudah membuat laporan polis terhadap pihak dikesan mengambil kesempatan memanipulasikan lesen bazar Ramadan pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, kejadian yang berlaku itu agak mengecewakan apabila masih terdapat cubaan penjualan tapak yang dikesan melalui saluran WhatsApp.
BHonline-