KAJANG – Nasib sama ada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali; isterinya, Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari dan 18 pemimpin tertinggi perniagaan itu akan dilepaskan sementara dengan jaminan akan diputuskan pada 24 Mac depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang pada Isnin, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili semua tertuduh.
Semua tertuduh itu berdepan satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 iaitu Nasiruddin, 66; Azura, 58; dan Mohammad Adib At-Tamimi, 33.
Seramai tujuh tertuduh wanita lain pula ialah Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mereka selaku pemohon merayu kepada mahkamah supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan, namun pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut.
Semasa hujahan, peguam Datuk Rosli Kamaruddin, yang mewakili Nasiruddin dan Azura, berkata dua anak guamnya wajar diberi jaminan kerana mereka menghidap penyakit yang memerlukan rawatan khusus.
“Nasiruddin merupakan suami kepada empat isteri dan mempunyai 26 anak, menghidap kencing manis yang serius, selain mengalami masalah jantung serta kerosakan buah pinggang,” katanya.
Sementara itu, dua peguam lain, Kamal Hisham Jaafar dan Najib Zakaria yang mewakili tertuduh lain berkata, anak guam mereka akan mematuhi semua syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah sekiranya dibenarkan ikat jamin.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hashim berkata, mahkamah boleh mempertimbangkan permohonan jaminan dengan syarat tertuduh memenuhi kriteria yang diperuntukkan dalam seksyen berkenaan, iaitu seorang individu berumur di bawah 18 tahun, seorang wanita, atau seseorang yang sakit atau uzur.
Menurutnya, syarat itu adalah berdasarkan Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak pembelaan hanya menghujahkan pemohon-pemohon mengalami penyakit dan uzur, sedangkan ia merupakan penyakit biasa dam boleh dirawat di penjara
“Penjara mempunyai fasiliti dan ubatan kerana yang mencukupi,” katanya.
Pada 13 Januari lalu, akauntan GISBH yang didakwa bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Hakim Latifah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Hamimah Yakub, 73, selaku pemohon.
Pada 23 Oktober tahun lalu, warga emas itu bersama 21 tertuduh lain didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang berkenaan di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang, pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes yang dihadapi Hamimah bersama 21 tertuduh lain dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.
SinarHarian-