PUTRAJAYA: Sebanyak 1,175 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah diluluskan dengan kos keseluruhan lebih RM12.47 bilion, sejak 2016 hingga kini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, 739 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif siap sepenuhnya merangkumi 258 projek di Sarawak, 229 di Sabah dan 252 di Semenanjung.
Sebanyak 203 projek dalam pembinaan manakala 233 projek lagi pada peringkat prabina.
Pada tahun ini, kerajaan telah meluluskan pembinaan 122 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif baharu di seluruh negara, kelulusan tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.
“KPM sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan terbaik dapat disediakan demi manfaat murid dan seluruh masyarakat,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan sentiasa proaktif memastikan isu sekolah daif ditangani segera menerusi pelaksanaan inisiatif projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara.
BHonline-