Kuantan: Seorang wanita berusia 24 tahun disambung reman sehingga Sabtu ini selepas dipercayai terbabit dalam kes bayi perempuan yang ditemukan tidak bernyawa di pusat perlindungan bayi di sebuah hospital swasta di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, perintah sambung reman itu dikeluarkan selepas tempoh tahanan reman ke atas suspek sebelum ini tamat, hari ini.
“Kakak suspek yang berusia 25 tahun yang sebelum ini turut ditahan kerana disyaki membantu meletakkan bayi di pusat perlindungan berkenaan, dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada media, hari ini.
Ahad lalu, seorang jururawat yang bertugas di bahagian kecemasan hospital berkenaan menemukan bayi perempuan yang sudah tidak bergerak di pusat perlindungan bayi berkenaan.
Jururawat itu melakukan prosedur kecemasan selama 20 minit tetapi gagal menyelamatkan bayi terbabit.
-Harian Metro