KYAUKSE – Angka korban akibat gempa bumi kuat yang melanda Myanmar dan Thailand meningkat melebihi 700 pada Sabtu, dengan pasukan penyelamat terus menggali runtuhan bangunan dalam usaha mencari mangsa terselamat.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 itu melanda barat laut bandar Sagaing di tengah Myanmar pada awal petang, disusuli gegaran susulan bermagnitud 6.7 beberapa minit kemudian.
Junta Myanmar melaporkan sekurang-kurangnya 694 maut dan hampir 1,700 cedera di wilayah Mandalay, manakala sekitar 10 kematian dilaporkan di Bangkok.
Bagaimanapun, gangguan komunikasi menyebabkan skala sebenar bencana masih belum dapat dipastikan, dengan angka korban dijangka terus meningkat.
Gempa itu merupakan yang terbesar melanda Myanmar dalam lebih satu abad dan gegaran kuatnya turut menyebabkan bangunan di Bangkok yang terletak ratusan kilometer dari pusat gempa mengalami kerosakan teruk.
Di Bangkok, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari pekerja yang terperangkap dalam runtuhan sebuah bangunan pencakar langit 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, kira-kira 10 kematian disahkan di bandar itu, kebanyakannya akibat runtuhan bangunan.
“Keutamaan kami adalah bertindak secepat mungkin untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.
Pihak berkuasa Bangkok menggerakkan lebih 100 jurutera untuk menilai keselamatan bangunan selepas menerima lebih 2,000 laporan kerosakan.
Sementara itu, ratusan penduduk terpaksa bermalam di taman awam kerana rumah mereka tidak selamat untuk didiami.
Di Myanmar, junta tentera yang berdepan perang saudara sejak rampasan kuasa 2021 mengeluarkan rayuan luar biasa bagi mendapatkan bantuan antarabangsa.
Negara itu turut mengisytiharkan darurat di enam wilayah terjejas dan hospital utama di Naypyidaw terpaksa merawat mangsa di kawasan terbuka.
Presiden AS, Donald Trump, serta India, Perancis dan Kesatuan Eropah telah menawarkan bantuan kecemasan manakala WHO bersedia menghantar bekalan perubatan bagi merawat mangsa cedera.
-AFP