KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak menjelang Aidilfitri di rangkaian lebuh rayanya dan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka mencapai sehingga 70,000 kenderaan.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata jangkaan kesesakan lebuh raya itu akan berlaku pada tiga hari sebelum dan selepas Aidilfitri iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding hari-hari biasa.
Katanya, susulan itu beberapa strategi diadakan iaitu membantu melancarkan perjalanan antaranya pengaktifan laluan Smartlane di 28 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya membabitkan wilayah tengah utara dan selatan di lokasi kritikal.
“Sebanyak tiga lokasi baharu laluan Smartlane pada musim perayaan kali ini ditambah di kawasan yang dijangka sesak iaitu di Lingkaran Putrajaya (arah timur), Pedas Linggi-Senawang (arah utara) dan Tangkak-Jasin( arah utara).
“Smartlane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang dan ia boleh dikenal pasti melalui paparan lampu hijau berkelip serta papan tanda pemberitahuan yang dipasang di lokasi-lokasi tertentu.
“Had laju pengguna lebuh raya adalah sekitar 60 kilometer sejam (km/j) dan dilarang memandu di lorong kecemasan di lokasi lain yang tidak diaktifkan,” katanya ketika sidang media persediaan PLUS menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Pengarah Wilayah Tengah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dr Mohamed Ridzuan Jahidin dan Timbalan Pengarah Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tan Kim Loon.
Zakaria berkata, selain itu kerja-kerja di lebuh raya utama juga akan dihentikan sementara bermula 27 Mac hingga 7 April kecuali jika ada kerja-kerja kecemasan yang perlu diperbaiki segera.
“Larangan kenderaan berat pula akan dikenakan pada dua hari sebelum (29 dan 30 Mac) dan selepas (5 dan 6 April) musim perayaan yang disifatkan banyak membantu kelancaran trafik di kawasan yang sesak.
“PLUS juga akan menempatkan lebih 5,000 petugas ekosistem PLUS antaranya 1,471 kakitangan di plaza tol, 60 petugas di pusat pemantauan trafik PLUS dan LPT2, 413 anggota rondaan, 3,570 kakitangan penyelenggaraan, 319 anggota RELA dan 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, PLUS menasihatkan orang ramai untuk memuatnaik aplikasi perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi memudahkan pengguna jalan raya merancang perjalanan.
“Untuk menggalakkan orang ramai mematuhi MyPLUS-TTA, PLUS menganjurkan kempen ‘Ikuti MyPLUS-TTA Sempena Hari Raya Aidilfitri’ bermula 19 Mac hingga 6 April di laman sosial dan berpeluang memenangi hadiah keseluruhan sehingga RM20,000.
“Oleh itu, PLUS menggesa orang ramai merancang dan menyusun jadual perjalanan berdasarkan MyPLUS-TTA untuk perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula selepas bercuti,” katanya.
BHonline-